PTM Plus 2025 Melabuhkan Tirai, Perkukuh Pembentukan Modal Insan MARA Berintegriti dan Berdaya Saing
20 Disember 2025 — Program Transformasi Minda (PTM) Plus 2025 melabuhkan tirainya hari ini dengan Majlis Perasmian Penutup yang disempurnakan oleh YBhg. Encik Fazli Rizal bin Ismail, Pengarah Bahagian Sumber Manusia (BSM) MARA, bertempat di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Lenggong.
Majlis tersebut turut diiringi oleh Pegawai MARA Daerah Lenggong, Encik Ahmad Mukhlis bin Aminuddin; Pengetua MRSM Lenggong, Encik Rusidi Bin Mustafa; serta Pengarah Akademi Kecemerlangan MARA (AKM), Puan Ani Mardiah binti Azmin.
PTM Plus 2025 melibatkan seramai 328 peserta daripada pelbagai pusat MARA di seluruh negara. Program ini bertujuan memberi pendedahan awal mengenai perkhidmatan awam dan ekosistem MARA, di samping menjadi syarat utama pengesahan jawatan kepada warga kerja baharu.
Program selama tujuh (7) hari ini telah berlangsung dari 14 hingga 20 Disember 2025 dengan penyertaan peserta daripada Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana. Pelaksanaan program disokong oleh 12 orang fasilitator, 16 orang penilai dan 14 orang penceramah yang berpengalaman.
Sepanjang pelaksanaan program, peserta didedahkan dengan pengukuhan nilai teras perkhidmatan awam termasuk integriti, amanah, disiplin dan semangat kerja berpasukan, selain peningkatan kefahaman terhadap peranan, fungsi serta tanggungjawab MARA sebagai agensi pembangunan sosioekonomi Bumiputera. Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman turut membantu membentuk jati diri, daya kepimpinan dan kesediaan peserta menghadapi cabaran perkhidmatan sebenar.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2014 hingga Disember 2024, MARA telah berjaya menganjurkan sebanyak 23 siri PTM yang melibatkan seramai 3,125 peserta, sekali gus membuktikan komitmen berterusan MARA dalam melahirkan modal insan berdaya saing dan berintegriti tinggi.
Penganjuran PTM Plus 2025 ini diharap dapat melahirkan warga kerja MARA yang lebih berilmu, profesional dan berdaya tahan, selaras dengan aspirasi Merakyatkan MARA serta menyokong agenda Malaysia MADANI ke arah pembinaan organisasi yang mampan dan berprestasi tinggi pada masa hadapan.